APEL adalah Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu. Ia dedifinisikan sebagai satu proses sistematik yang melibatkan identifikasi, dokumentasi dan penilaian pembelajaran berasaskan pengalaman terdahulu.

APEL terbahagi kepada dua jenis iaitu APEL bagi Tujuan Akses [(APEL(A)] dan APEL bagi Tujuan Penganugerahan Kredit [APEL(C)] .

Sample image

 

APEL (A)

APEL(A) memberi peluang kepada mereka yang mempunyai pengalaman kerja tetapi kurang kelayakan atau tiada kelayakan akademik untuk menyambung pelajaran di Institusi Pengajian Tinggi. Secara umumnya, penilaian APEL(A) melibatkan penilaian terhadap ilmu yang diperoleh oleh seseorang itu menerusi pendidikan formal mahupun menerusi pengalamannya terdahulu.

Sehingga kini penilaian APEL(A) telah dibuka untuk EMPAT tahap kemasukan iaitu:

  1. Kemasukan ke program Sijil (APEL T-3);
  2. Kemasukan ke program Diploma (APEL T-4);
  3. Kemasukan ke program Ijazah Sarjana Muda (APEL T-6); dan
  4. Kemasukan ke program Ijazah Sarjana (APEL T-7).

UiTM telah diberi mandat sebagai Pusat Penilaian APEL (PPA) oleh MQA bagi menjalankan APEL bagi peringkat T-6 dan T-7.

 

APEL (C)

Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu bagi Tujuan Penganugerahan Kredit [APEL(C)] adalah proses penilaian pembelajaran (tidak formal dan bukan formal) seseorang individu berdasarkan pengalaman terkumpul (pengetahuan dan kemahiran) untuk mendapatkan pindah kredit bagi kursus dalam program yang sedang diikuti. Penekanan harus diberi kepada konsep utama APEL(C) iaitu penilaian ke atas kebolehan individu tersebut untuk menggunakan pembelajaran yang dicapai melalui pengalamannya dalam mencapai hasil pembelajaran sesuatu kursus.

Kebaikan APEL(C):

  1. Mengiktiraf pembelajaran yang diperoleh daripada pengalaman kerja dan kursus-kursus pendek yang diikuti;
  2. Mengurangkan pembelajaran berulang kepada pelajar;
  3. Menggalakkan kemasukan calon dewasa ke program pendidikan tinggi; dan
  4. Mengurangkan kos dan masa untuk menamatkan pengajian.